Memburu Khusyuk Di Dalam Solat

0 komentar

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Alhamdulillah, dewasa kini ramai yang tahu dan mampu melaksanakan solat dengan sebaik mungkin. Alhamdulillah juga, kini ramai yang mulai sedar bahawa pentingnya solat dalam kehidupan. Tahniah diucapkan kepada mereka yang cuba dan usaha menjaga solat. Sesiapa yang ingin perbaiki diri juga mendekatkan diri kepada Ilahi, maka langkah bijak yang perlu diambil adalah dengan melaksanakan solat. Jagalah solat, kerana disitulah terletaknya hubungan seseorang hamba dengan pencipta-Nya.
Berkenaan dengan solat, saya pasti dan yakin bahawa ramai di antara kita juga saya masih lagi merangkak mencari khusyuk di dalam solat. Umumnya, khusyuk itu sesuatu yang sangat bernilai. Tetapi, manusia tidak mampu membelinya malah menjualnya. Sebaliknya, manusia boleh memilikinya dengan merasainya.
Jadi, tulisan yang berbentuk teori ini, bukan hanya baca lalu kita terus meraih khusyuk. Jawapan mestilah tidak. Anggaplah tulisan ini satu ‘alat’ yang akan membantu kita semua untuk mengkualitikan lagi solat kita.
Solat bukan hanya terletak di fikiran sahaja. Tetapi solat juga terletak pada perasaan.
Jom sama – sama mencari KHUSYUK di dalam solat.
Pengertian khusyuk :
1.    Khusyuk ialah menghadirkan sepenuh ingatan di dalam solat.
2.    Khusyuk ialah tetapkan hati di dalam solat.
3.    Khusyuk ialah tetapkan seluruh pancaindera di dalam solat.
4.    Khusyuk ialah memperlahankan bacaan (membaca dengan tenang) di dalam solat.
5.    Khusyuk ialah jiwa dan roh kepada solat.
6.    Kyusyuk ialah tenang, tenteram, perlahan, penuh penghayatan, serta ketundukan yang disertai perasaan takut kepada Allah SWT dan merasai selalu diawasi-Nya semasa solat.
7.    Khusyuk ialah akur, tunduk atau patuh semasa solat.
8.    Khusyuk ialah menghadirkan hati kepada Allah SWT di dalam solat.
9.    Khusyuk ialah tunduknya hati, fikiran, emosi dan seluruh pancaindera semasa solat (ingat pada Allah SWT).
Tips untuk mendapat khusyuk :
1.    Menjaga makan dan minum. Ini kerana khusyuk itu berkaitan dengan hati. Oleh itu, hati meski dipelihara kesuciannya. Dan hati juga akan dibawa ketika solat. Jadi, makan dan minumlah daripada sumber yang halal lagi baik. Jangan solat dalam keadaan lapar dan haus. Makan dan minumlah dalam kuantiti yang sederhana dan bukan berlebih – lebihan.
2.    Mengambil wudhuk dengan tenang dan sempurna. Iaitu mengerjakan wudhuk sesuai dengan ketentuan – ketentuan yang telah digariskan oleh syariat serta hayati.
3.    Membersihkan diri (bersugi). Bersugi dan bersiwak, dalam konteks sekarang bererti menggosok gigi sebelum mengerjakan solat.
4.    Selesaikan dahulu hadas kecil dan hadas besar sebelum solat.
5.    Memakai pakaian yang menutup aurat, bersih dan kemas, selesa dan wangi. Jika seseorang ingin mendirikan solat dengan pakaian yang kotor serta tidak selesa, maka ia akan menjejaskan, serta menyulitkan solatnya.
6.    Solat dalam suasana yang selesa dan bersih. Pastikan tempat solat suci daripada benda – benda atau perkara – perkara yang dapat menganggu ketika mendirikannya. Cuba dan usaha menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan mengkhayalkan pemikiran semasa solat. Jauhi juga menghadap apa – apa gambar atau tulisan yang menarik perhatian untuk dilihat dan dibaca. Jauhi juga daripada solat di tempat yang bising dan hingar – bingar.
7.    Ilmu. Adalah lebih baik jika amal itu disertai dengan ilmu.
8.    Mengurangkan pergerakan anggota – anggota seperti tangan, kaki dan tumpukan mata ke tempat sujud.
9.    Panaskan badan sebelum solat dengan membaca surah – surah atau isti’azah dalam hati ketika terasa minda tidak fokus kepada solat.
10.  Meletakkan sutrah penghadang di hadapan tempat solat agar tiada orang yang lalu – lalang di hadapan ketika sedang mendirikan solat.
11.  Mendirikan solat pada awal waktu supaya tidak gopoh ketika masa hampir luput.
12.  Mendirikan solat secara berjemaah (bagi lelaki). Wanita digalakkan solat berjemaah.
13.  Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan solat bersendirian ataupun sekurang – kurangnya iqamat sahaja.
14.  Menjaga mata daripada melihat perkara yang terlarang oleh Islam.
15.  Fokus mata ke tempat sujud, dada ke arah kiblat, hati pada Allah SWT.
Langkah menuju khusyuk :
1.    Mencari pengertian (faham). Perkara ini perlu dimulakan dengan memahami makna bacaan (rukun qauli) dan erti setiap perbuatan (rukun fi’li) di dalam solat. Apabila mengucapkan takbiratulihram dan membaca surah al-Fatihah misalnya, makna setiap kalimatnya perlu diketahui satu persatu.
2.    Pemusatan fikiran (fokus). Menghindarkan gangguan hal – hal lain sehingga fikiran, perbuatan dan ucapannya seiring – yakni terfokus sepenuhnya kepada makna bacaan dan perbuatan dalam solat. Mungkin telah memahami makna bacaan, tetapi oleh sebab tidak fokus, seseorang yang membacanya hanya umpama orang mengigau di dalam tidur.
3.    Membesarkan Tuhan (rasa haibah). Apabila orang yang kenal Allah SWT mengucapkan kalimah, “Allahuakhbar” misalnya, dia bukan sahaja tahu maknanya (Allah Maha Besar) malah hatinya turut merasai betapa hebatnya kuasa Allah SWT yang telah mencipta alam semesta, akhirat dan segala makhluk. Pada ketika itulah terpancarnya rasa – rasa yang seni dan indah dalam fikiran dan jiwa yang tidak mungkin terjadi di luar solat.
4.    Kagum dan takut akan keagungan Tuhan (rasa khauf). Rasa takut dan kagum kepada Allah SWT ini tidak sama dengan rasa takut dan kagum kepada perkara – perkara yang lain. Kita takut kepada ikan piranha kerana keganasannya, tetapi kita takut kepada Allah SWT kerana kehebatan-Nya.
5.    Mengharap kepada Tuhan (rasa raja’). Ia adalah pengharapan seorang hamba untuk mendapat keampunan, kasih sayang dan syurga Allah SWT. Jika rasa takut sahaja dibiarkan mendominasi jiwa dikhuatiri akan timbul sangka buruk dan jahat sangka terhadap Allah SWT. Padahal dalam realitinya, Allah SWT lebih suka mengampunkan dosa berbanding mengyeksa hamba-Nya yang berdosa.
6.    Rasa malu dan hina diri (rasa haya’). Untuk merasa hina dan malu, carilah maksud yang tersirat di sebalik perbuatan rukuk dan sujud. Dengan rukuk kita menyamaratakan posisi mulut, perut dan dubur persis haiwan berkaki empat! Sewaktu sujud, kita meletakkan kepala, dahi dan muka yang sentiasa berada di atas (sentiasa dihormati) ke tempat yang paling bawah (tempat sujud). Manakala dubur yang sentiasa disorokkan di bawah, ketika sujud telah dijongketkan ke atas sebagai cara meleburkan kesombongan dan kebesaran diri!
Impak solat yang khusyuk :
Solat yang khusyuk akan;
1.    Mengingatkan jati diri sebagai hamba Allah SWT (rasa kehambaan).
2.    Membina rasa bertuhan (bergantung dan berharap) kepada Allah SWT.
3.    Bertaubat atas dosa – dosa.
4.    Menyuburkan hati dengan iman dan tauhid.
Akhir kata, ini sahaja yang mampu saya kongsikan. Semoga kita sama – sama meraih solat yang berkualiti. Solat yang khusyuk!  Wallahu’alam~
“Hanya solat yang khusyuk mampu ‘menyelam’ ke dalam diri – mengubah rasa hati, gaya fikir, prinsip hidup, emosi dan akhirnya perilaku seseorang.”


sumber
Share this article :

Posting Komentar

 
Support : Copyright © 2011. Khazanah Islami - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger