tahajud..Qiamullail

0 komentar

Solat tahajud

Qiamullail ialah solat malam yang dinamakan tahajud jika dilakukan selepas tidur. Ini kerana perkataan tahajud bererti meninggalkan tidur.Qiamullail adalah solat sunat yang tidak ditentukan bilangan rakaatnya dan dilakukan selepas terjaga daripada tidur sebelum azan subuh.

Hukum solat tahajud

Semua ulama sepakat menetapkan solat qiamullail atau tahajud hukumnya sunat muakkad. Walaupun begitu para ulama dan golongan soleh menitikberatkan dan tidak meninggalkannya kerena kelebihan dan fadilatnya teramat banyak.

Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu bersolat malam. Sesungguhnya ia amalan orang soleh sebelum kamu, amalan yang mendekatkan kepada Tuhanmu, penghapus kesalahan dan pencegah daripada dosa. (riwayat Muslim)

Fadilat solat tahajud

Terdapat banyak dalil dan nas di mana Islam menggalakkan umatnya melakukan ibadat qiamullail. Ibadat ini sepatutnya menjadi amalan setiap individu Muslim apatah lagi jika beliau merupakan seorang ulama atau daie (pendakwah). Antara dalilnya ialah:

* Firman Allah SWT yang bermaksud: ...dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah 'sembahyang tahajud' padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji.- Surah al-Israk ayat 79

Para ulama mengatakan pengertian ibadah sunat (tambahan) pada ayat, ada dua pengertian:

Pertama : Bahawa ini hanya diperuntukkan dan diwajibkan kepada Rasulullah SAW. Sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani dengan sanad daif dia berkata: Abdullah bin Abbas berkata: "Qiamullail diwajibkan kepada Rasulullah SAW, sementara bagi kita itu hanya berupa ibadah sunat".

Qiamullail atau tahajud

Jadi, makna nafilah ialah solat tahajud iaitu tambahan kewajipan bagi solat lima waktu khususnya pada diri Rasulullah SAW. Oleh itu, Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan qiamullail sama ada dalam keadaan bermukim di Madinah mahupun ketika musafir, hingga baginda wafat.

Kedua : Nafilah bererti tambahan kebaikan bagi diri Rasulullah SAW. Sedangkan selain baginda, qiamullail itu bukan berupa tambahan kebaikan. Sebaliknya qiamullail bagi kita (selain Rasulullah SAW) adalah penebus dosa kejahatan-kejahatan kita.

Ini kerana kita terdiri daripada jiwa yang berdosa dan banyak melakukan kesalahan, kejahatan dan kemaksiatan. Sedangkan Rasulullah SAW semua dosa dan kesalahannya, sama ada yang dahulu mahupun yang akan datang telah diampunkan oleh Allah SWT.

Maka qiamullail hanyalah berupa tambahan kebaikan sahaja baginya, sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Fath ayat 2 yang bermaksud: kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmat-Nya kepada-Mu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).

Firman Allah SWT dalam Surah al-Muzammil ayat 1-3 yang bermaksud: Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu.

Antara cara untuk memudahkan bangun di waktu malam adalah:

Ibn Qudamah menyebut dalam kitabnya Mukhtasar Minhaj al-Qasidin: Ketahuilah qiamullail amat sukar untuk dilaksanakan kecuali siapa yang diberi taufik dengan syarat-syarat yang memudahkannya. Terdapat dua syarat iaitu zahir dan batin.

Antara sebab-sebab zahir:

  • Tidak makan terlalu banyak. Justeru mereka berkata: "Hai golongan sufi, jangan makan banyak, nescaya kamu minum banyak, kamu tidur banyak dan sesal banyak".
  • Jangan berpenat pada siang hari dengan kerja-kerja yang membebankan.
  • Jangan meninggalkan tidur qailullah (tidur sekejap) pada siang hari kerana ia menolong untuk bangkit pada malam hari.

Antara sebab-sebab batin pula ialah:

  • Menjauhkan dosa. Dengan sebab itu al-Thauri berkata: "Aku dihalang untuk qiamullail selama lima bulan kerana satu dosa yang aku lakukan".
  • Selamatkan hati daripada prasangka dan perasaan tidak baik kepada orang Islam.
  • Menjauhkan diri daripada amalan bidaah.
  • Berpaling daripada lebihan dunia.
  • Mengetahui kelebihan qiamullail.

Semoga kita menjadi ahli tahajud dan ahli Quran yang melayakkan kita untuk menghuni syurganya. Amin Ya Rabbal Alamin.
sumber
Share this article :

Posting Komentar

 
Support : Copyright © 2011. Khazanah Islami - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger